Adat Resam Kaum-kaum Di
Malaysia
Adat resam boleh ditakrifkankan sebagai aturan atau
segala macam perbuatan dan cara hidup. Ianya mencerminkan segala perbuatan yang
adakalanya dilakukan setiap hari ataupun musim sama ada berpandukan bulan atau
tahun. Ini ialah perkara yang selalu difahami oleh khalayak berkenaan dengan
adat resam. Suatu perkataan yang sinonim dengan adat ialah budaya. Walaupun
dari aspek bunyinya ia berbeza, tetapi dari segi pengertiannya, ia adalah
konsep yang saling bergantung dan sama. Kebiasaan ini merupakan cara harian
kita seperti berpakaian, cara makan dan minum, jadual harian dan banyak lagi.
Masyarakat Malaysia ialah suatu masyarakat yang
bersifat majmuk dan pelbagai. Ia juga dikenali sebagai masyarakat Jawi iaitu
masyarakat yang bercampur dari pelbagai latar belakang. Masyarakat Malaysia atau masyarakat Jawi yang mempunyai
pelbagai latar belakang. Oleh sebab itu, setiap bangsa atau ras didalam sistem
sosial Malaysia pastinya berbeza satu sama lain dari segi latar belakangnya.
Tidak terkecuali berbeza dari segi adat dan budaya.
Selain itu, adat resam juga merupakan
upacara-upacara dalam pusingan kehidupan seseorang manusia misalnya adat
kelahiran, adat berkhatan ( untuk orang Islam ), adat perkahwinan dan adat
kematian serta memperingatinya setiap tahun.
Adat resam juga merupakan upacara dalam kalendar
kehidupan sepanjang tahun. Contohnya, adat mengenai pertanian dari menanam
hingga menuai padi dan upacara puja pantai bagi para nelayan. Terdapat juga
adat yang merupakan perayaan tahunan seperti menyambut Tahun Baru Cina atau
Kristian, perayaan Hari Raya Puasa Islam, perayaan Thaipusam dan Deepavali
Tamil atau perayaan Gawai Iban dan Keamatan Kadazandusun. Semua adat resam ini
adalah cerminan budi bahasa.
Adat resam masyarakat Melayu adalah berasaskan
kepada ajaran agama Islam dan warisan kebudayaan mereka. Orang Melayu biasanya
saling menyapa dengan ucapan “Salam” dan berjabat tangan. Kepada orang bukan Islam mereka mengucapkan
“Selamat pagi” atau sebagainya mengikut keadaan. Pada setiap hari Jumaat pula
mereka mengadakan sembahyang Jumaat beramai-ramai di masjid. Pada bulan-bulan
tertentu mereka mengadakan acara ibadat tertentu seperti bulan Muharam dengan
sambutan awal Muharam, Ramadan dengan berpuasa selama sebulan, Syawal dengan
Hari raya Puasa, Zulkaedah, Zulhijah dengan pergi Mekah untuk naik haji dan
merayakan Hari Raya Haji atau Raya Korban.
Dari segi adat istiadat dan upacara pula terdapat
beberapa jenis adat dalam perubahan hidup orang Melayu semasa menyambut
kelahiran seorang bayi. Jika bayi lelaki dilahirkan, sebaik sahaja dibersihkan
dan dibedung, dia disambut oleh seorang lelaki dewasa yang menyerukan ‘azan’
perlahan-lahan di telinganya. Jika bayi perempuan diserukan dengan ‘Iqamat’.
Kebiasaannya setelah beberapa hari, sekurangnya
seminggu, seorang anak itu diberi nama dan dicukur rambutnya. Bagi kanak-kanak
lelaki mereka dikhatankan semasa berumur 6 hingga 10 tahun manakala perempuan
mereka dikhatankan semasa masih bayi lagi.
Bagi wanita yang hamil, beberapa upacara dan pantang
larang diikuti. Bagi anak pertama secara tradisi diadakan upacara ‘lenggang
perut’. Ini bertujuan untuk menjaga keselamatan semasa bayi dilahirkan ataupun
semasa berada dalam kandungan.
Di samping upacara-upacara tadi terdapat juga
upacara dalam sistem pertanian seperti penanaman padi, menangkap ikan dan juga
membina rumah. Ada juga tradisi berkaitan hantu dan kejadian alam yang
mempunyai pantang larang. Banyak pantang larang dahulu telah dilupakan dan
tidak lagi diamalkan oleh masyarakat Islam atau Melayu dewasa kini.
Kaum Cina di Malaysia mempunyai beberapa pegangan
dalam menjalankan proses kehidupan mereka seperti juga lain-lain kaum. Masyarakat
Cina juga mempunyai adat tentang perkahwinan, kematian, dan sebagainya. Apa
yang menarik berkenaan adat kaum Cina ialah suatu bentuk adat dan petua untuk
kehidupan yang mereka namakan “Feng Shui”. Pengaruhnya “Feng Shui” masih
menebal dalam kalangan mereka pada hari ini. Lazimnya adat istiadat Cina
dipengaruhi oleh unsur Buddha yang menjadi pegangan kebanyakan ahli dalam
masyarakat Cina. Falsafah lampau juga banyak mempengaruhi adat istiadat Cina
sehingga menyebabkan mereka mempunyai pelbagai acara-acara dan pantang larang
yang berorientasikan adat.
Adat resam orang Cina terdiri daripada pelbagai
kepercayaan tentang alam dan campuran falsafah serta etika dari ahli-ahli fikir
zaman kuno serta agama Buddha. Tanpa kepercayaan khusus tentang Tuhan maka
keluarga dan negara menjadi tumpuan pemujaan mereka. Dalam keluarga, roh nenek
moyang menjadi tumpuan pemujaan. Ia ditandakan oleh sekeping Papan Peringatan (
tablet ) yang dicatatkan nama keturunannya. Papan ini merupakan tumpuan
penyembahan keluarga dan diletakkan di ruang tamu rumah. Setelah beberapa
generasi barulah papan ini disimpan di rumah klen ( huay kuan ) ataupun
di rumah tokong.
Lebih luas dari keluarga ialah persatuan
perdagangan dan juga klen yang memuja seorang leluhur atau nenek moyang yang sama. Oleh kerana klen itu
sangat penting maka di kalangan orang Cina terdapat nama keluarga. Secara
tradisi terdapat banyak nama keluarga dan ianya diturunkan melalui anak lelaki.
Kepentingan meneruskan keluarga menyebabkan perkahwinan seorang lelaki amat
penting.
Kelahiran seorang anak pula mengikut beberapa adat
pantang larang untuk menjaga kesihatan si ibu dan kandungan. Pada hari ke 29
bayi dicukur dan rambutnya dibungkus dengan kain merah dan digantung dekat
bantalnya selama 100 hari dan kemudian dibuang ke sungai. Setelah sebulan
upacara Bulan Penuh akan diadakan dengan meriah. Ulang tahun kelahirannya tidak
diperingati kecuali oleh anaknya pada waktu tua secara besaran.
Sepanjang tahun banyak sekali perayaan yang diikuti
oleh orang Cina. Setiap bulan ada kegiatan dan upacara serta dewanya untuk
dipuja. Adat resam mereka amatlah banyak dan dilakukan mengikut perubahan
‘musim’ terutama musim pertanian dan iklim seperti di negeri China. Antara
upacara-upacara yang diraikan masyarakat Cina selain dari Tahun Baru Cina dan
Chap Goh Meh ialah adat Ulang Tahun Kematian, adat Puja Kampung, adat Mencuci
Kubur, Sembahyang Hajat dan Menjamu Keramat. Adat-adat ini tampak seumpama
perbuatan-perbuatan yang menjadi amalan masyarakat Melayu. Namun ianya pastilah
berbeza dan dijalankan dengan cara dan matlamat yang berbeza bagi mewujudkan
identiti masyarakat Cina yang tersendiri.
Masyarakat India, khususnya Tamil mengikut adat
resam agama Hindu meskipun ramai orang India yang beragama lain. Mereka menyapa
dengan sebutan ‘vanakam’. Keluarga amat penting dalam masyarakat Tamil.
Meskipun bapa memainkan peranan utama tetapi ibu adalah paling dihormati yang
dianggap mulia, “Ibu adalah umpama Tuhan” dan anak perempuan pun dipanggil
‘amma’ seperti seorang ibu.
Suami pula di dalam masyarakat India adalah ‘Tuhan
bagi isterinya’ dan mesti sentiasa dihormati. Oleh kerana itu, proses perkahwinan
India mesti ditentukan oleh seorang ketua agama yang membuat tilikan masa
bertuah serta keserasian pasangan yang akan berkahwin. Masa perkahwinan yang
dianggap bertuah amatlah penting bagi menjalankan segala acara dan upacara
untuk mengelakkan berlakunya malapetaka ataupun nasib buruk. Untuk mengelakkan
dari keadaan buruk, maka biasanya perkahwinan dilakukan pada waktu tengah malam
atau waktu matahari akan naik. Upacara perkahwinan dilakukan di rumah pengantin
perempuan ataupun di kuil oleh seorang ketua agama.
Seperti juga adat kaum-kaum lain, kelahiran seorang
bayi adalah acara yang penting kepada keluarga dan masyarakat India. Selama 16
hari selepas kelahiran bayi, ahli keluarga tidak boleh melakukan sebarang
upacara agama. Pada hari ke 16 kelahiran, upacara penting diadakan untuk
menamakan anak. Ketika ini rumah dan buaian akan dihias cantik dan jiran-jiran
dijemput bersama meraikan upacara tersebut.
Dari aspek perayaan, terdapat banyak perayaan di
kalangan masyarakat India. Mengikut kalendar Hindu mereka akan mengadakan
pelbagai upacara sembahyang berkaitan musim dan perubahan tahun seperti di
negeri India. Masyarakat Hindu akan bersembahyang sebanyak tiga kali sehari
iaitu pada waktu pagi, tengahari dan petang di tempat tertentu di rumah.
Perayaan kaum India diadakan dengan mengikuti
peredaran bulan dan setiap bulan ditandakan oleh bulan mengembang dan bulan
menirus. Terdapat 21 jenis perayaan didalam adat masyarakat India.
Perayaan-perayaan itu termasuklah Deepavali, Thaipusam dan Thaiponggal.
Secara ringkas bolehlah dikatakan aspek adat resam
yang menjadi teras identiti dan keperibadian negara Malaysia telah dapat
diterima dan diikuti secara beransur-ansur oleh setiap golongan rakyat
Malaysia. Namun demikian pelaksanaannya pasti rumit dan tidak akan dapat
dicapai dalam masa yang singkat. Kesedaran dan kefahaman yang luas akan dapat
membantu mencapai hasrat dan cita-cita pelaksanaan ini kerana dengan keinsafan
itu sahaja adat yang membentuk identiti dan keperibadian kebangsaan akan dapat
dibezakan dengan adat yang bersifat kesukuan atau perkauman. Identiti dan
keperibadian yang dipupuk itu akan mencirikan sifat-sifat persamaan yang
melampaui batas-batas suku kaum dan akan memperlihatkan keperibadian kebangsaan
Malaysia itu sendiri sebagai sebuah negara yang merdeka dan bermaruah.
Nukilan,
Mahadzir bin Shaari
Foon Yew 5.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan